Belanjawan 2027 untuk Vendor IT, Pemasaran Digital dan PR

Belanjawan 2027 angkat AI dan digitalisasi sebagai tema besar. Untuk vendor IT dan agensi, bahagian yang paling berguna bukan geran, tapi layanan cukai yang buat klien anda lebih senang membeli.

Dikemaskini 10/10/2026. Belanjawan 2027 dibentang di Dewan Rakyat pada 09/10/2026. Langkah cukai di bawah masih cadangan sehingga Rang Undang-undang Kewangan diluluskan Parlimen, jadi butiran akhir boleh berubah. Rujuk perunding cukai anda sebelum buat keputusan besar.

Belanjawan 2027 ikut bidang perniagaan

Hujah jualan terbaik anda untuk 2027

Dua perubahan cukai yang terus kurangkan kos efektif projek IT untuk klien anda:

ACA peralatan ICT dan perisian dilanjutkan sampai 31 Disember 2030. Elaun permulaan 20% dan elaun tahunan 40%, jadi klien tuntut habis dalam 2 tahun. Yang layak termasuk pembelian peralatan ICT, pakej perisian komputer, serta fi perundingan, pelesenan dan bayaran sampingan berkaitan pembangunan perisian komputer secara khusus.

Baca bahagian terakhir tu sekali lagi. Fi perundingan untuk pembangunan perisian khusus layak ACA. Kalau anda jual projek pembangunan custom, itu hujah jualan yang konkrit dan boleh anda letak dalam proposal.

Aset bernilai kecil naik ke RM3,000. Mulai YA 2027. Praktikal untuk perkakasan: laptop, monitor, router, switch, NAS kecil, titik akses. Pada paras RM2,000 banyak laptop kerja terkeluar. Pada RM3,000 masuk, dan PMKS tiada had tuntutan tahunan.

Gabungan dua ni bermakna anda boleh bantu klien susun perbelanjaan IT mereka supaya layanan cukai paling baik. Butiran dalam panduan elaun modal 2027.

Geran: faham saiz sebenar

  • MDEC, RM30 juta untuk 4,000 PKS guna AI dan automasi, plus latih dan sijilkan 5,000 profesional AI.
  • NADI, RM142 juta untuk usahawan muda jual online.
  • Jom Malaysia, RM10 juta untuk bawa produk luar bandar ke platform digital.

RM30 juta dibahagi 4,000 PKS adalah purata sekitar RM7,500 seorang. Jangan bina proposal RM80,000 dan harap geran tu tanggung. Yang lebih realistik: pakej kecil yang muat dalam saiz geran, atau projek besar di mana geran tu sekadar sebahagian pembiayaan. Butiran dalam panduan geran digitalisasi dan AI.

Rang Undang-undang E-Dagang

Rang Undang-undang E-Dagang akan dibentang pada sesi Parlimen berikutnya. Kandungan penuh belum diketahui, jadi aku tak akan teka apa dalamnya. Tapi untuk agensi dan vendor yang bina kedai online untuk klien, ni perkara yang patut anda pantau, sebab keperluan pematuhan baharu biasanya bermakna kerja pelaksanaan baharu.

Satu nota untuk agensi pemasaran dan PR

Pelepasan gaya hidup individu diperluas termasuk fi langganan AI. Ni menarik dari sudut pemasaran sebab ia normalkan perbelanjaan AI dalam fikiran pengguna. Tapi jangan janji kepada klien bahawa langganan alat perniagaan mereka layak, sebab definisi LHDN belum keluar dan skopnya mungkin terhad kepada kegunaan peribadi.

Dari sudut kandungan, Belanjawan 2027 bagi anda tema yang kuat untuk kempen klien anda sepanjang Oktober hingga Januari: penjimatan cukai, geran, gaji minimum. Setiap sektor klien ada satu angle. Kalau anda buat kandungan untuk klien PKS, ni masa demand carian paling tinggi.

Apa patut anda buat

Tulis satu lembaran tentang layanan cukai ICT. Letak dalam setiap proposal. Klien yang faham dia dapat tuntut habis dalam 2 tahun lebih senang kata ya.

Pecahkan servis anda jadi pakej yang muat saiz geran. Lebih senang jual tiga pakej RM8,000 berbanding satu projek RM24,000 kepada PKS yang pertama kali guna automasi.

Sediakan tawaran e-Invois. Tiada penangguhan diumumkan, jadi klien yang masih belum sedia akan panik. Itu permintaan yang pasti datang.

Panduan berkaitan

Cara pilih vendor IT untuk perniagaan kecil, kepentingan jenama dan pemasaran untuk perniagaan baru dan cara pilih firma PR dan komunikasi.

Ahli BNI Primera dalam bidang ni

Dasar satu kategori satu ahli bermakna setiap bidang ada satu pakar sahaja dalam chapter, jadi rujukan datang tanpa konflik kepentingan. Daftar untuk lawat mesyuarat mingguan kalau anda nak jumpa mereka terus.

Sumber rasmi

Butiran penuh ada dalam dokumen rasmi Kementerian Kewangan: Lampiran Langkah Cukai Belanjawan 2027 dan Teks Ucapan Belanjawan 2027. Untuk pelaksanaan cukai, rujuk LHDN.

Balik ke panduan utama: Belanjawan 2027 untuk PKS

Kongsi artikel ini

Pautan disalin.

Scroll to Top
WhatsApp kami