Cukai Individu 2027: Apa Berubah untuk Pemilik Perniagaan

Kalau anda pemilikan tunggal, perkongsian, atau anda ambil gaji dan dividen dari syarikat sendiri, perubahan cukai individu ni lebih relevan kepada anda daripada potongan kadar PKS. Ada bahagian yang untung, dan ada satu bahagian yang naik.

Dikemaskini 10/10/2026. Belanjawan 2027 dibentang di Dewan Rakyat pada 09/10/2026. Langkah cukai di bawah masih cadangan sehingga Rang Undang-undang Kewangan diluluskan Parlimen, jadi butiran akhir boleh berubah. Rujuk perunding cukai anda sebelum buat keputusan besar.

Belanjawan 2027 untuk PKS

Struktur kadar baharu, mulai tahun taksiran 2027

Pendapatan bercukai (RM) Kadar lama Kadar baharu
0 hingga 5,000 0% 0%
5,001 hingga 20,000 1% 1%
20,001 hingga 35,000 3% 3%
35,001 hingga 50,000 6% 6%
50,001 hingga 70,000 11% 11%
70,001 hingga 100,000 19% 18%
100,001 hingga 150,000 25% 24% (banjaran baharu)
150,001 hingga 400,000 25% 25%
400,001 hingga 600,000 26% 26%
600,001 hingga 1,000,000 28% 28%
Melebihi 1,000,000 28% (sehingga 2 juta) 30%

Bahagian yang naik, bukan turun

Ni yang kebanyakan laporan berita sebut secara sepintas lalu. Sebelum ni, kadar 30% hanya kena pada pendapatan bercukai melebihi RM2 juta. Banjaran RM600,001 hingga RM2,000,000 dicukai 28%.

Mulai YA 2027, banjaran 28% dipendekkan jadi RM600,001 hingga RM1,000,000, dan semua pendapatan bercukai melebihi RM1 juta dicukai 30%.

Jadi kalau pendapatan bercukai anda antara RM1 juta dan RM2 juta, cukai anda naik 2 mata peratusan atas bahagian tu. Pada pendapatan bercukai RM1.5 juta, itu tambahan sekitar RM10,000 setahun. Kiraan tepat bergantung pada pelepasan anda.

Belanjawan ni memang distruktur untuk alih beban ke atas. Kalau anda dalam kumpulan tu, ini masa yang betul untuk semak sama ada struktur anda sekarang masih yang paling sesuai.

Pelepasan individu naik ke RM12,000

Pelepasan cukai individu dan saudara tanggungan naik dari RM9,000 ke RM12,000 mulai YA 2027. Angka RM9,000 tu dah tak berubah sejak tahun taksiran 2010, jadi ini kemas kini yang dah lama tertunggak.

Nilainya pada anda bergantung pada kadar marginal. Tambahan pelepasan RM3,000 pada kadar 24% bermakna penjimatan RM720. Pada kadar 11%, RM330.

Pelepasan lain yang diperluas

Beberapa pelepasan diluaskan skopnya:

  • Pelepasan rawatan perubatan diluaskan termasuk jagaan selepas bersalin
  • Pelepasan penjagaan ibu bapa diluaskan kepada semua perbelanjaan jagaan
  • Pelepasan pendidikan diluaskan kepada semua bidang pengajian dan yuran tuisyen anak
  • Pelepasan gaya hidup diluaskan termasuk langganan AI, kasut sukan dan kos adopsi haiwan peliharaan
  • Pelepasan caruman PERKESO disemak semula
  • Nilai ambang kebankrapan minimum naik dari RM100,000 ke RM150,000

Apa patut anda buat

Kalau anda enterprise, bandingkan dengan Sdn Bhd. Kadar PMKS 14% dan 16% untuk syarikat lebih rendah daripada kadar individu marginal anda sebaik sahaja pendapatan bercukai anda melepasi sekitar RM100,000. Tapi penukaran struktur ada kos: audit, setiausaha syarikat, pematuhan SSM tahunan, dan cukai atas pengeluaran dividen. Buat kiraan penuh, bukan bandingkan kadar sahaja. Rujuk perunding cukai dan panduan untuk setiausaha syarikat.

Kalau pendapatan bercukai anda dekat RM1 juta, rancang awal. Masa pengiktirafan pendapatan, caruman persaraan, dan campuran gaji berbanding dividen semuanya jadi lebih penting bila jurang kadar melebar.

Simpan resit untuk pelepasan yang diperluas. Pelepasan baharu tak guna kalau anda tak boleh buktikan. Mula simpan dari 1 Januari 2027, bukan masa musim failing.

Soalan Lazim

Kadar baharu ni kena pada pendapatan 2026 saya?

Tidak. Mulai tahun taksiran 2027, jadi pada pendapatan tahun 2027 yang anda failkan pada 2028. Pemfailan anda pada 2027 untuk YA 2026 masih guna kadar lama.

Berapa saya jimat kalau pendapatan bercukai saya RM120,000?

Dari penurunan kadar sahaja: 1 mata peratusan atas RM30,000 dalam banjaran 70k hingga 100k adalah RM300, plus 1 mata peratusan atas RM20,000 dalam banjaran 100k hingga 150k adalah RM200. Jumlah sekitar RM500, sebelum kira kesan pelepasan individu yang naik RM3,000.

Pelepasan gaya hidup termasuk langganan AI, apa yang layak?

Pengumuman menyebut fi langganan AI dimasukkan ke dalam pelepasan gaya hidup. Definisi tepat apa yang dikira langganan AI belum dikeluarkan LHDN. Aku tak sure sama ada ia akan merangkumi langganan alat perniagaan atau hanya kegunaan peribadi, jadi tunggu panduan LHDN sebelum anda kira ia dalam pelepasan anda.

Sumber rasmi

Butiran penuh ada dalam dokumen rasmi Kementerian Kewangan: Lampiran Langkah Cukai Belanjawan 2027 dan Teks Ucapan Belanjawan 2027. Untuk pelaksanaan cukai, rujuk LHDN.

Balik ke panduan utama: Belanjawan 2027 untuk PKS

Perlu rujukan pakar?

Perkara cukai, HR dan pematuhan lagi senang bila ada orang yang boleh anda tanya terus. BNI Primera guna dasar satu kategori satu ahli, jadi setiap bidang ada satu pakar dalam chapter tanpa konflik kepentingan. Semak galeri ahli BNI Primera atau daftar untuk lawat mesyuarat mingguan.

Kongsi artikel ini

Pautan disalin.

Scroll to Top
WhatsApp kami